Gambar ini diambil semasa Krismas 2014 di hadapan sekolah SRK Morek. Apa yang mahu diketengahkan di sini ialah buah pokok kelapa di atas jalan ini banyak, tua dan boleh jatuh bila-bila masa. Orang selalu lalu di sini tanpa menyedari bahaya buah kelapa tua yang mungkin boleh jatuh pada bila-bila masa.
Diharapkan pihak pentadbiran kampung dan pihak sekolah dapat berbuat sesuatu tentang keadaan ini supaya tidak membahayakan orang yang lalu di bawah pokok kelapa ini.
Gambar ini diambil pada Hari Krismas 2014. Jambatan kayu yang menyeberangi Sungai Lian ini sudah tidak berapa selamat digunakan. Lihatlah rupa jambatan ini. Kenderaan berat tidak dapat melalui jambatan ini. Adapun, cuma motorsikal sahaja kenderaan paling berat dapat melalui jambatan ini. Diharap pihak pentadbiran kampung dapat melihat masalah ini.
Diharapkan juga sekiranya membina semula jambatan baru di sini, pastikan jambatan yang dibina sebolehnya mampu menampung berat kenderaan yang berat sehingga 10 tan. Ini bagi membolehkan kenderaan pacuan empat roda dan lori yang mungkin membawa barang dapat melalui jambatan ini.
Jambatan yang teguh dan baik biasanya dibuat dari konkrit dan besi. Pertimbangkanlah bahan seperti ini di dalam pembinaan jambatan supaya selamat, kuat dan utuh.
Kalau jambatan yang baik dibina di sini, kita semua yang mendapat manfaat dari kemudahan ini.
Perjalanan balik dalam bulan Disember 2014 untuk menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru semakin mudah dengan adanya jaringan jalan raya bertar dari Bandaraya Miri ke Pekan Lapok dan seterusnya ke Kampung Long Banyok.
Walaupun dari simpang jalan besar menuju ke Kampung Long Banyok cuma 12 KM, namun jalannya yang masih belum diturapi dengan batu dan belumpur selepas hujan membuat perjalanan agak perlahan dan berbahaya, Keadaan ini lebih lagi berbahaya bagi kenderaan bukan pacuan empat roda dan apabila jalan basah dan licin selepas hujan. Faham-fahamlah, kalau hujung tahun memang selalu hujan dan menyebabkan jalan raya dan masih belum diturapi dengan batu ini menjadi licin. Ada banyak kejadian sebelum ini banyak kereta yang tergelincir di jalan yang licin ini, yang mana sebagai langkah akhir terpaksa ditarik.
Dikira secara anggaran, hanya 1 KM terakhir di belakang gereja ini sahaja yang belum diturapi batu.
Diharapkan pihak pentadbiran kampung dapat berbuat sesuatu tentang masalah ini. Kalau jalan ini baik dan selamat, kita semua yang mendapat manfaat juga dan menggalakkan penduduk selalu balik ke kampung.